21 October 2020 


Pengurusan legasi yang teguh


Apabila menerima berita yang tidak disangka seperti kematian, pastinya timbul perasaan sedih dan terkejut, apatah lagi jika ia membabitkan orang tersayang.
 
Inilah yang dialami Maya, 29, seorang suri rumah dan ibu kepada dua orang cahaya mata yang kehilangan suami tercinta selepas meninggal dunia dalam tidur. Kematian mengejut ini membuatkan Maya buntu memikirkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan tanpa suami yang selama ini menjadi tempat bergantung hidup bagi dia dan anak-anaknya.
 
Maya turut diuji apabila harta peninggalan arwah suaminya menjadi pertikaian adik-beradik suaminya. Disebabkan ini terjadilah pertelingkahan sesama ipar duai dan akhirnya, perhubungan sesama ahli keluarga menjadi renggang.
 
Inilah antara contoh konflik yang sering berlaku apabila tidak melakukan perancangan kewangan yang baik untuk keluarga tersayang. Dalam hal Maya, hibah dilihat sebagai salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk memenuhi keperluan hidup dia dan anak-anaknya disamping hak-hak ahli waris lain juga terpelihara melalui pembahagian harta mengikut hukum faraid bagi ketenangan hati semua. 
 

Apa itu Hibah?  

Dalam bahasa yang mudah difahami, hibah merupakan pemberian seseorang yang masih hidup kepada yang lain atas keinginan atau kehendak sendiri dan tidak mengharapkan balasan.

Biarpun hibah umpama pemberian atau hadiah namun pelaksanaannya tetap membabitkan akad. Akad hibah akan wujud apabila empat rukun dan syarat dipenuhi iaitu perlu ada:

  • pemberi hibah (alwahib),
  • penerima hibah (almauhublahu),
  • benda atau hibah yang dihibahkan (almauhub), dan
  • sighah (ijab dan kabul)​
 

Pilihan tersendiri

Ada yang keliru antara hibah dan faraid. Faraid adalah pembahagian harta si mati kepada ahli-ahli waris yang diuruskan dengan adil dan diberikan kepada yang berhak. Hibah pula adalah harta yang dihibahkan dan tidak disenaraikan dalam harta pusaka yang akan diagihkan kepada ahli-ahli waris mengikut hukum faraid.

Anda bebas untuk memilih sama ada harta peninggalan anda diagihkan keseluruhannya mengikut hukum faraid tapi bukankah ia lebih baik jika anda dapat memilih kedua-duanya?

Dengan hibah, anda boleh memberikan jumlah yang lebih daripada nilai yang sepatutnya diterima oleh ahli waris berkenaan atau pun pilih untuk memberi kepada mereka yang bukan ahli waris.

Terdapat dua jenis hibah dalam industri Takaful di Malaysia iaitu hibah mutlak (umra) dan hibah bersyarat (ruqba) yang dijelaskan di bawah:

1. Hibah mutlak:
  • Berkuatkuasa serta merta di mana sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima.
  • Perlu dilakukan sewaktu pemberi masih hidup. Maksudnya, hibah diberi daripada seorang yang hidup, sedar dan berakal sihat kepada seorang yang juga sihat, sedar, dan berakal.
  • Proses ini dianggap sah dan tiada siapa yang boleh melawan.
2. Hibah bersyarat:
  • Terdapat syarat sampingan yang diletakkan oleh penghibah
  • Perlu ada surat hitam putih sebagai bukti di mana tertulis hibah ini berkuatkuasa sebaik pemberinya meninggal dunia.
  • Sekiranya penerima yang dipilih itu mati dahulu, ‘harta’ yang dihibahkan akan kembali kepada pemberi supaya ia boleh diberikan kepada penerima baharu. Dengan ini, tidak wujud pertikaian kelak.​
 

Merancang untuk ketenangan masa depan melalui pelan Takaful

Melihat kembali senario yang dihadapi Maya, perancangan masa depan adalah penting yang mesti diambil berat oleh semua orang. Hari ini terdapat pelbagai cara dan salah satunya adalah perancangan kewangan melalui pelan Takaful. Digabungkan dengan elemen hibah, Takaful merupakan salah satu cara yang berpaksikan kepada amalan sedekah melalui pengurusan dana Tabarru.

Kelebihan Hibah dalam Takaful:

1. Satu mekanisme pengagihan manfaat yang membolehkan pemegang kontrak membuat perancangan teliti dan sempurna kepada pihak yang dikehendakinya ketika dia hidup dengan menetapkan kadar yang dikehendakinya.

2. Pengagihan manfaat Takaful secara hibah bersyarat juga boleh diuruskan dengan lebih mudah kerana penerima-penerima hibah sudah ditetapkan bahagiannya dan ia tidak perlu melalui proses faraid.

3. Memanfaatkan bukan sahaja umat Islam tetapi juga bukan Islam.


Kesedaran ini amat penting dalam usaha mengelakkan masalah yang bakal timbul selepas kematian pemegang kontrak Takaful. Dengan memilih hibah bersyarat, masa depan ahli keluarga atau waris akan lebih terpelihara dan didahulukan mengikut kehendak syarak dan sistematik.
 

Bertindak sebelum terlewat

Dalam masa menghadapi cabaran getir kini, ingatlah untuk sediakan payung bagi yang tersayang sebelum hujan dengan penggunaan hibah dalam aspek perlindungan masa depan mereka. Bertindaklah hari ini untuk ketenangan minda anda dan mengelakkan mereka mengalami masalah sama yang menimpa Maya.

Di Sun Life Malaysia, urusan pendaftaran hibah kini lebih cepat dan senang dengan kemudahan baru, penamaan e-hibah di portal Pelanggan SunAccess. Jangan lupa membuat penamaan menggunakan kemudahan ini untuk pengurusan legasi anda!

Hubungi penasihat kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini atau untuk membina legasi yang kukuh.

Talk to an advisor

Preferred Language: