20 Julai 2020
Oleh Catherine Cameron

Berapa kerap anak saya patut bersenam?


LifeMoments-Health_bm-v2.png

Semasa kita masih kanak-kanak, kebanyakan dari kita sering bersenam seperti berjalan kaki ke sekolah dan bermain di luar rumah sebelum dan selepas makan malam dan juga sepanjang hujung minggu. Ibu bapa juga aktif dengan lebih menggunakan basikal atau berjalan kaki berbanding memandu, bermain di luar bersama anak-anak, serta melakukan kerja rumahtangga sendiri seperti memotong rumput dan menyiram pokok bunga. 

Kini kita sering mendengar mengenai kes-kes obesiti, ketidakaktifan, kegunaan telefon pintar atau menonton televisyen yang melampau di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Tabiat ini perlu dibendung dan digantikan dengan aktiviti senaman yang bermanfaat terutamanya untuk anak anda supaya meningkatkan kecergasan fizikal and imunisasi mereka serta mengurangkan jangkitan dan penyakit.

Jika anda tertanya-tanya tentang kekerapan aktiviti fizikal yang anak anda patut lakukan bagi mendapat manfaat kesihatan yang maksimum, sila merujuk di bawah untuk pecahan yang bersesuaian dengan kumpulan usia mereka:
 
Bayi, kanak-kanak kecil dan pra-sekolah
Bayi (kurang dari setahun) hanya perlu aktif secara fizikal beberapa kali sehari dengan permainan di lantai dan terutamanya, secara interaktif.

Kanak-kanak kecil (berusia satu hingga dua tahun) dan pra-sekolah (berusia tiga hingga empat tahun) pula patut melakukan aktiviti fizikal selama sekurang-kurangnya 180 minit pada tahap keaktifan berbeza setiap hari dan meningkat kepada sekurang-kurangnya sejam bermain secara aktif menjelang usia lima tahun.   

Terdapat juga pelbagai aktiviti fizikal yang bersesuaian untuk kanak-kanak kecil dan pra-sekolah yang disediakan oleh portal MyHealth, iaitu satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri.

Kanak-kanak yang berusia lima hingga 11
Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini seharusnya melakukan aktiviti fizikal atau bermain secara aktif sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari. Ia tidak semestinya dilakukan pada masa yang sama dan boleh dijalankan selama beberapa sesi ‘mini’ untuk melengkapi tempoh satu jam yang diperlukan setiap hari. Sasarkan aktiviti intensiti tinggi yang menggalakkan peningkatan denyutan jantung serta aktiviti yang menguatkan otot dan tulang (seperti melompat tali, bangun tubi dan tekan tubi) sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Aktiviti fizikal yang kerap membawa banyak manfaat dalam pembangunan mereka! 

Remaja berusia 12 hingga 17 tahun
Remaja pada usia ini seharusnya melakukan aktiviti intensiti tinggi atau bermain secara aktif selama sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari. Mereka juga patut melakukan aktiviti yang dapat menguatkan otot dan tulang (seperti lompat skip, berlari, bermain bola keranjang, tenis dan sebagainya) sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. 

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak anda menjadi lebih aktif dengan aktiviti mudah seperti di bawah:

  • Pilih pengangkutan aktif – galakkan anak anda berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah.
  • Galakkan anak-anak menyertai pasukan sukan dan aktiviti rekreasi di sekolah seperti melompat tali serta pasukan bola sepak dan bola tampar.
  • Berenang adalah kemahiran hidup yang penting. Pastikan anak anda belajar berenang sepanjang tahun sehingga mereka mampu berenang dengan cekap.
  • Bawa sekali bola atau tali lompatan di dalam beg sekolah untuk menggalakkan mereka bermain dengan rakan-rakan pada waktu rehat atau makan tengahari.
  • Tetapkan masa untuk bermain secara aktif bersama keluarga setiap hari – membawa haiwan peliharaan anda berjalan di luar rumah juga dikira sebagai satu senaman!
  • Hadkan waktu menonton atau bermain komputer dan galakkan anak-anak untuk melakukan aktiviti yang membuat mereka berpeluh terutamanya selepas waktu persekolahan di antara pukul 3 petang hingga 6 petang.
  • Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa yang cergas biasanya akan menginspirasi anak-anak mereka supaya menjadi lebih aktif. 
 

Anak-anak yang aktif biasanya hidup dengan penuh keceriaan dan menjadi lebih sihat, berkeyakinan dan bijak. Jadi, pastikan anak-anak anda mengamalkan gaya hidup yang aktif sejak kecil dan bantulah mereka mencari aktiviti fizikal yang menyeronokkan di samping memupuk rutin dan tabiat sihat sepanjang hayat mereka!  

Kesihatan yang baik adalah aset yang paling penting dalam kehidupan semua orang. Hubungi penasihat kami hari ini untuk mengetahui cara ke arah kehidupan yang lebih sihat.

Talk to an advisor

Preferred Language: